Syarat baharu penebusan Baucar (PTV) Perlindungan Tenang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman terhadap perlindungan kewangan di kalangan penerima BKM

Bermula pada 15 Julai 2022, penerima BKM yang layak boleh menebus Baucar Perlindungan Tenang RM75 mereka dengan bayaran permulaan hanya minimum RM5 dan menikmati manfaat perlindungan kewangan terhadap risiko utama dalam kehidupan.

Kuala Lumpur, Jumaat, 15 Julai 2022 – Bermula pada 15 Julai 2022, penerima BKM yang layak boleh menebus baucar Perlindungan Tenang (PTV) RM75 mereka dengan hanya RM5 manakala baki RM70 akan ditanggung oleh Kerajaan untuk menikmati manfaat perlindungan insurans/takaful yang menyediakan perlindungan kewangan sekiranya berlaku kematian, kebakaran atau kejadian yang tidak diingini. Sumbangan RM5 adalah sebahagian daripada premium insurans atau sumbangan takaful penerima untuk Pelan Perlindungan Perlindungan Tenang.

Caruman atau sumbangan RM5 untuk penebusan RM75 PTV adalah syarat baharu bertujuan meningkatkan lagi pemahaman penerima BKM tentang pelan Perlindungan Tenang dan bagi memastikan penerima BKM memahami pelan insurans/takaful yang mereka beli atau sertai.

Pihak industri juga menasihatkan semua penerima BKM untuk menyemak kelayakan melalui portal MyPTV di www.myptv.my. Mereka juga disarankan untuk memahami butiran produk perlindungan yang ingin dibeli/disertai dan memberikan persetujuan untuk pembelian produk tersebut menggunakan baucar. Mereka juga perlu memastikan bahawa sumbangan RM5 tidak datang daripada mana-mana pihak ketiga/ejen/perantara supaya sebagai pemegang polisi atau peserta takaful yang bertanggungjawab, mereka haruslah mengetahui sepenuhnya tentang perlindungan dan manfaat pelan Perlindungan Tenang. Dengan memahami pelan perlindungan yang mereka beli atau sertai, penerima BKM boleh melindungi dirinya daripada diperdayakan atau diberi maklumat yang salah tentang polisi/sijil Perlindungan Tenang mereka.

Bayaran minimum RM5 boleh dibuat secara tunai atau dalam talian kepada syarikat insurans atau pengendali takaful produk Perlindungan Tenang yang ingin dibeli atau disertai oleh penerima BKM (dalam talian atau di kaunter). Penerima BKM dinasihatkan menyimpan resit rasmi bayaran RM5 untuk rekod mereka.

Sejak PTV diperkenalkan pada September 2021, inisiatif ini telah memanfaatkan seramai 1,705,687 orang pada 2021 dan sehingga akhir Jun 2022 sebanyak 2,881,444 baucar telah ditebus yang menyumbang ke arah peningkatan penembusan perlindungan insurans/takaful di kalangan golongan berpendapatan rendah.

Berikutan maklum balas daripada orang ramai, industri akan memberikan komitmen bagi memastikan produk insurans/takaful yang dijual atau disertai oleh pengguna adalah berdasarkan persetujuan dan memberikan maklumat yang sewajarnya tentang produk tersebut.

Untuk maklumat lanjut tentang syarat baharu RM5 untuk penebusan PTV, sila rujuk Soalan-soalan Lazim. Penerima BKM juga dinasihatkan untuk menghubungi syarikat insurans/pengendali takaful mereka atau melayari laman web MyCoverage di www.mycoverage.my untuk maklumat lanjut mengenai produk Perlindungan Tenang. Untuk menyemak kelayakan PTV, sila layari www.myptv.my .

Sebagai alternatif, mereka boleh menghantar pertanyaan melalui e-mel kepada LIAM di ptv@liam.org.my , MTA di enquiries@malaysiantakaful.com.my atau PIAM di corpcomms@piam.org.my . Pusat Panggilan Program Baucar PTV boleh dihubungi di 03 7723 9333 dari 8.00 pagi hingga 6.00 petang, Isnin hingga Jumaat. 

 

In Support of