Industri Insurans dan Takaful Lancar Program Baucar Perlindungan Tenang RM75 untuk Memanjangkan Perlindungan Sosial kepada Golongan Berpendapatan Rendah

Penerima Bantuan Keluarga Malaysia 2022 kategori Isi Rumah, Bujang dan Warga Emas boleh menebus baucar bernilai RM75 bermula 1 Januari 2022

Kuala Lumpur, Jumaat, 31 Disember 2021 – Bermula 1 Januari 2022, penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kategori Isi Rumah, Bujang dan Warga Emas yang layak akan diberikan Baucar Perlindungan Tenang (PTV) bernilai RM75 yang boleh digunakan untuk memperbaharui polisi atau sijil Perlindungan Tenang sedia ada, atau membeli pelan perlindungan baru daripada syarikat insurans atau pengendali takaful tempatan yang berdaftar di bawah Program Perlindungan Tenang.  PTV RM75 ini merupakan inisiatif Kerajaan Malaysia dengan kerjasama industri insurans dan takaful, bertujuan untuk memanjangkan perlindungan sosial kepada golongan berpendapatan rendah, seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022. 

Di bawah program Perlindungan Tenang ini, enam belas (16) syarikat insurans dan pengendali takaful menawarkan dua puluh dua (22) pelan yang memberikan perlindungan terhadap risiko utama kehidupan seperti kematian, kemalangan, kebakaran, kerosakan harta benda dan lain-lain keadaan yang tidak diingini. Sesetengah pelan perlindungan ini boleh dibeli dengan premium atau sumbangan bermula serendah RM2.03* sebulan.  

“Pelanjutan Program PTV ke tahun kedua ini bertujuan untuk meningkatkan perlindungan sosial di kalangan masyarakat Malaysia, terutamanya segmen berpendapatan rendah.” Elmie Aman Najas, Pengerusi Persatuan Takaful Malaysia

(MTA) turut berkongsi bahawa, “Semenjak program PTV dilancarkan pada 30 September sehingga 31 Disember 2021, sebanyak  1,109,800 baucar PTV, bernilai bersih yang digunakan bernilai lebih RM55 juta, telah ditebus.”  

Antony Lee, Pengerusi Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), bersetuju dengan sentimen Kerajaan bahawa pandemik ini telah menzahirkan keperluan untuk meningkat dan memperkukuhkan perlindungan sosial di kalangan golongan berpendapatan rendah masyarakat kita. Beliau berkata, “meningkatkan perlindungan sosial dan kadar penembusan insurans nasional adalah kritikal bagi sesebuah negara, kerana ia membantu mengurangkan pendedahan seseorang terhadap risiko kehidupan, dan mempertingkatkan kebolehan individu untuk melindungi dirinya, keluarga serta yang tersayang dalam keadaan kecemasan yang tidak dijangka serta gangguan/ kehilangan pendapatan.” Keadaan banjir yang berlaku ketika ini telah memperlihatkan jurang perlindungan dan keperluan untuk melindungi harta seseorang dengan secukupnya daripada bencana alam. Ianya adalah antara manfaat Perlindungan Tenang di bawah produk insurans am.

Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Loh Guat Lan berkata, “Kami sangat menghargai dan mengalu-alukan langkah proaktif Kerajaan menjaga kebajikan Rakyat melalui pelanjutan program PTV. Program baucar RM75 Perlindungan Tenang yang memberikan golongan berpendapatan rendah nilai baucar yang lebih tinggi, secara langsung menawarkan mereka lebih banyak pilihan daripada rangkaian pelan perlindungan mampu milik mengikut kesesuaian keperluan mereka. Kami ingin menasihati semua penerima BKM yang layak untuk mengambil peluang ini dan mendaftar dalam pelan Perlindungan Tenang sebagai jaring keselamatan untuk keluarga dan orang tersayang.”

Kesemua penerima BKM dinasihatkan supaya menyemak kelayakan mereka untuk menerima baucar RM75 melalui portal khas PTV di www.myptv.my. Setelah mengesahkan kelayakan, mereka boleh melayari ciri-ciri dan manfaat pelan perlindungan yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing di laman www.mycoverage.my.  Menggunakan baucar PTV, penerima BKM seterusnya boleh membeli pelan perlindungan baru, atau memperbaharui pelan Perlindungan Tenang sedia ada untuk tempoh lagi setahun, daripada laman web syarikat insurans atau pengendali takaful yang berkaitan.   

Sebagai alternatif, penerima BKM juga boleh ke mana-mana cawangan syarikat insurans, pengendali takaful, ejen atau pengedar Perlindungan Tenang yang sah untuk menyemak kelayakan serta membeli/menyertai produk Perlindungan Tenang. Sebagaimana yang telah diumumkan Kerajaan dalam Bajet 2022, penerima BKM yang layak juga boleh menebus baucar RM75 untuk membeli polisi insurans atau sijil takaful komprehensif bagi motosikal 150cc ke bawah. Butir-butir mengenai pelaksanaan program ini akan diumumkan di bawah Fasa 2 kelak.  

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk kepada soalan lazim (FAQ) yang disediakan, layari www.myptv.my.  Kelayakan boleh disemak di www.myptv.my  dan maklumat produk tersedia di www.mycoverage.my .

Sebagai alternatif, hubungi Pusat Panggilan PTV di talian 03 7723 9333 daripada jam 8.00 am sehingga 6.00 pm, Isnin hingga Jumaat.

 

In Support of