PROGRAM BAUCAR PERLINDUNGAN TENANG: Industri Insurans dan Takaful Menggesa Penerima Bantuan Prihatin Rakyat 2021 Yang Layak Menebus Baucar Perlindungan Tenang Bernilai RM50 sebelum 31 Disember 2021

Kuala Lumpur, Khamis, 16 Disember 2021 – Industri insurans dan takaful menggesa semua penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) 2021 kategori Isi Rumah, Bujang dan Warga Emas yang layak untuk segera menebus Baucar Perlindungan Tenang (PTV) mereka bernilai RM50 sebelum tempoh penebusan tamat pada 31 Disember 2021.

Program PTV ini telah dilancarkan pada 30 September 2021, yang membolehkan penerima BPR yang layak membeli atau menyertai pelan insurans atau takaful yang ditawarkan oleh syarikat insurans dan pengendali takaful dalam negara yang berdaftar di bawah Perlindungan Tenang untuk melindungi diri penerima, keluarga dan orang tersayang terhadap risiko utama kehidupan seperti kematian, kemalangan, kebakaran, dan lain-lain kejadian yang tidak diingini.

Sehingga kini, lebih 888,000 baucar telah ditebus oleh penerima BPR dengan jumlah perlindungan melebihi RM44 juta.

Penerima BPR 2021 digesa untuk menyemak kelayakan mereka untuk menerima baucar RM50 ini melalui portal khas PTV di www.myptv.my. Setelah mengesahkan kelayakan, mereka dinasihatkan untuk melayari www.mycoverage.my untuk melihat ciri-ciri dan manfaat yang ditawarkan oleh produk Perlindungan Tenang di laman sesawang syarikat insurans atau pengendali takaful yang berkaitan, seterusnya membuat pembelian pelan perlindungan yang memenuhi keperluan penerima mereka. Sebagai alternatif, penerima BPR juga boleh ke mana-mana cawangan syarikat insurans, pengendali takaful, ejen atau pengedar Perlindungan Tenang yang sah untuk menyemak kelayakan serta membeli/menyertai produk yang mereka inginkan.

Bermula 1 Januari 2022, nilai baucar PTV akan ditingkatkan kepada RM75 dan semua penerima BPR yang layak akan diberi baucar baru bernilai RM75 yang digunakan untuk memperbaharui pelan Perlindungan Tenang bagi tempoh setahun lagi; membeli pelan Perlindungan Tenang yang baharu; atau membeli polisi insurans /takaful komprehensif bagi motosikal 150cc ke bawah. Butir-butir mengenai baucar PTV 2022 ini akan diumumkan kemudian.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk kepada soalan lazim (FAQ) yang disediakan, layari www.myptv.my atau www.mycoverage.my, atau hubungi Pusat Panggilan PTV di talian 03 7723 9333 daripada jam 8.00 pagi sehingga jam to 6.00 petang, Isnin hingga Jumaat.

In Support of