Prospek Insurans Bagi Tahun 2011 Dan Seterusnya

(Dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia, Encik Md Adnan Md Zain sempena dengan Program Transformasi Ekonomi yang diumumkan oleh YB Dato Seri Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU)

Kuala Lumpur, 4 Oktober 2010: Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) hari ini memuji langkah Kerajaan kerana mengenal pasti industri insurans sebagai salah satu bidang penting yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara kerana ia menyediakan faedah istimewa dan insentif yang bertujuan untuk mempromosikan perancangan kewangan di kalangan rakyat Malaysia.

Penekanan berkaitan insurans yang dibentangkan semasa Hari Terbuka Program Transformasi Ekonomi (ETP) di PWTC pada 21 September 2010, akan meningkatkan pertumbuhan dengan kadar penembusan insurans mencecah 4% daripada KDNK menjelang tahun 2020 dan bilangan polisi setiap penduduk mencecah paras 75% berbanding dengan 41% tahun ini. Dengan inisiatif baru yang terkandung dalam program ini, kami percaya hampir kesemua aspek insurans hayat akan mendapat faedah yang besar.

Lonjakan industri insurans akan bergantung pada secepat mana inisiatif ETP dapat dimulakan.

"Apa yang boleh mendorong pertumbuhan yang besar ialah pelepasan cukai perseorangan sebanyak RM6,000 yang kini diberikan untuk insurans hayat, perubatan, pendidikan dan anuiti. Bidang yang lain ialah skim pencen swasta yang dibentangkan dalam sesi perbincangan berkumpulan ETP. Secepat mana inisiatif untuk membenarkan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disalur keluar untuk Dana Pencen Swasta juga merupakan satu faktor," kata En Adnan.

Selaras dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan 10.1% dan 8.9% pada suku pertama dan suku kedua 2010, industri insurans hayat juga telah berkembang pada kadar 2 hingga 3 kali lebih pantas daripada pertumbuhan KDNK.Dalam separuh pertama 2010, industri insurans hayat mencatatkan pertumbuhan yang sangat ketara apabila jualan perniagaan baru meningkat sebanyak 24% berasaskan premium berwajaran. Pertumbuhan ini disumbangkan oleh prestasi yang sangat kukuh dalam jualan premium tunggal yang meningkat sebanyak 51% dan juga jualan premium tetap yang meningkat sebanyak 22% berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas.

"Sementara itu, prospek bagi separuh ke-2 tahun terus cerah. Bahkan, berdasarkan pengalaman lepas,tempoh separuh ke-2 tahun biasanya menyumbangkan purata 55-60% daripada perniagaan tahun penuh. Justeru itu, bagi keseluruhan tahun 2010, kami menganggarkan bahawa industri ini akan berkembang sebanyak lebih daripada 20%. Memandangkan banyak sekali inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk memacu negara menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, kami menjangkakan prestasi yang jauh lebih mantap akan tercapai oleh industri insurans pada tahun 2011," kata En Adnan lagi.

Pada masa ini, peratusan individu yang memiliki perlindungan insurans hayat, pendidikan dan simpanan persaraan, perlindungan perubatan dan kesihatan dan sebagainya masih lagi rendah, iaitu 41% daripada jumlah penduduk. "Peratusan ini sebenarnya lebih rendah lagi jika diambil kira individu yang mengambil lebih daripada satu polisi. Berbanding dengan banyak negara maju lain, paras ini tidak memadai kerana kadar penduduk sebanyak 59% masih lagi tidak memiliki sebarang jenis perlindungan insurans. Ini agak membimbangkan dalam kerajaan berusaha menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi," ujar En Adnan.

Bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengambil insurans hayat, ETP bermatlamat untuk memberikan pelepasan cukai yang berasingan sebanyak RM6,000 untuk premium insurans hayat. Pada masa ini, pelepasan cukai perseorangan sebanyak RM6,000 digabungkan dengan caruman berkanun KWSP. Ini bermakna bahawa individu yang berpendapatan RM4,500 ke atas tidak layak menuntut sebarang pelepasan cukai untuk polisi insurans hayat.

Berdasarkan keteguhan ekonomi dan kadar gaji rakyat Malaysia yang kini lebih tinggi, pelepasan cukai yang digabungkan sebanyak RM6,000 sekarang ini adalah tidak memadai.

Dengan peningkatan jangkaan hayat, inisiatif yang diumumkan untuk mewujudkan skim pencen swasta bagi penduduk yang bekerja adalah wajar. "Ia merupakan satu langkah yang tepat. Pada hari ini, penerima upah mesti memastikan mereka mempunyai simpanan yang cukup sehingga 20 hingga 30 tahun lagi selepas persaraan. Bergantung pada simpanan KWSP sahaja tidak mencukupi. Terdapat juga sekumpulan besar golongan yang bekerja sendiri (kira-kira 25 peratus daripada penduduk bekerja) yang mungkin tidak mempunyai sebarang simpanan persaraan. Oleh yang demikian, terdapat keperluan untuk mengisi jurang pendapatan persaraan dan ini boleh dilakukan melalui skim pencen swasta," kata En Adnan.

Untuk memastikan kejayaan pelaksanaan skim pencen swasta ini, adalah penting sekali bahawa tumpuan tidaklah hanya diberikan kepada fasa pengumpulan prapersaraan. Penting sekali diambil perhatian bahawa keperluan fasa pengagihan ditangani dengan sewajarnya demi menghalang pesara daripada kehabisan dana persaraan mereka lebih awal daripada yang sepatutnya. Dalam aspek ini, syarikat insurans hayat mempunyai pengalaman dan rangkaian produk yang boleh memenuhi keperluan para pesara.

Akhir sekali, dengan peningkatan skim insurans pekerja asing, dengan perlindungan wajib dan bertambah baik, bukan sahaja akan meningkatkan lagi pertumbuhan industri ini dalam tahun-tahun akan datang tetapi juga akan meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk syarikat-syarikat yang berhasrat untuk melabur di negara ini.