Urusan pemegang polisi perlu dipermudah - Utusan Malaysia

Menjual insurans hayat adalah satu khidmat sosial. Justeru, formaliti dalam pengeluaran polisi insurans hayat dan pengurusan tuntutan patut dikurangkan dengan sebanyak mungkin.

Pada prinsipnya, pemegang polisi patut dilindungi daripada kesan perbuatan sebilangan kecil golongan yang telah membuat tuntutan tidak wajar.

Untuk itu, satu kenyataan amalan-amalan insurans hayat telah dirumus sebagai sebahagian daripada kod etika dan tingkah laku dalam perniagaan insurans hayat.

Meskipun ada yang berpendapat ia tidak patut diwajibkan, kenyataan ini menyediakan satu garis panduan amalan insurans yang seragam bagi semua yang menjual polisi insurans hayat.

Sudah tentulah terdapat situasi di mana kenyataan ini tidak boleh dikuatkuasakan atau tidak sesuai diguna pakai.

Kenyataan ini meliputi empat bidang penting:

    - Tuntutan

    - Borang cadangan

    - Polisi dan dokumen berkaitan yang lain

    - Bahan-bahan jualan dan iklan



Tuntutan:

Semua syarikat insurans hayat tidak seharusnya menolak tuntutan tanpa alasan yang munasabah, terutama sekali atas sebab ketidaknyataan atau salah nyataan yang di luar pengetahuan pemegang polisi.

Berhubung dengan jangka waktu untuk pemberitahuan tuntutan, pihak yang menuntut tidak akan diminta melakukan lebih daripada melaporkan tuntutan dan sebarang perkembangan seterusnya dengan secepat mungkin.

Mengenai pembayaran tuntutan, kenyataan itu menegaskan bahawa bayaran patut dibuat tanpa dilengahkan apabila tuntutan telah dibuktikan dan pihak yang menuntut didapati layak menerima bayaran.

Kenyataan itu juga melarang syarikat insurans hayat mengutip bayaran pemprosesan daripada pemegang polisi atau sesiapa yang akan mendapat bayaran manfaat polisi.

Borang cadangan:

Borang cadangan yang perlu diisi oleh bakal pemegang polisi dengan butir-butir peribadi dan sulit mesti diseragamkan dan mengikut format yang ditetapkan dalam Tata Amalan Baik bagi perniagaan insurans hayat.

Pada asasnya, ini bertujuan untuk memastikan maklumat yang diberikan oleh bakal pemegang polisi adalah konsisten dengan yang diperlukan oleh syarikat-syarikat insurans hayat.

Jika borang cadangan memerlukan pendedahan fakta-fakta penting, maka satu kenyataan mesti dimasukkan dalam pengisytiharan, atau dipaparkan dengan jelas di tempat lain dalam borang tersebut.

Bakal pemegang polisi patut dimaklumkan mengenai padahnya jika gagal mendedahkan fakta-fakta material. Bakal pemegang polisi juga patut diberitahu supaya mendedahkan kesemua fakta sekiranya mereka tidak pasti sama ada itu adalah fakta material atau tidak.

Adalah wajib bagi syarikat insurans hayat memberikan borang cadangan berkaitan polisi kepada bakal pemegang polisi.

Polisi dan dokumen berkaitan yang lain:

Adalah menjadi tanggungjawab syarikat insurans hayat untuk menyediakan borang cadangan yang jelas untuk bakal pemegang polisi supaya ia mudah dan senang diisi, tanpa mengenepikan implikasi undang-undang kontrak insurans.

Semua polisi insurans hayat dan sebarang dokumen sampingan lain mesti menyatakan sama ada terdapat hak ke atas nilai serahan balik dalam kontrak, dan bakal pemegang polisi mesti diberitahu dengan jelas apakah hak-hak itu.

Bahan-bahan jualan dan iklan:

Syarikat-syarikat insurans hayat mesti memastikan bahawa kandungan dalam bahan-bahan jualan dan iklan mestilah tepat dan betul, dan tidak mengelirukan orang ramai.

Sebagai pembekal perkhidmatan kewangan adalah penting bagi syarikat insurans hayat diiktiraf kerana kecekapan, perkhidmatan yang bermutu tinggi dan integriti mereka. Selain syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kawal selia, satu lagi cara untuk mencapai matlamat-matlamat ini ialah menerusi kawal selia sendiri. Kod etika adalah peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh ahli-ahli untuk mengawal selia diri sendiri. Ia telah dan akan terus membantu usaha untuk meningkatkan prestasi industri dan juga untuk kebaikan pengguna.

Sebagai kesimpulan, kod etika ini memainkan peranan penting dalam menggalakkan kawal selia sendiri di kalangan ahli-ahli LIAM.

* Artikel ini disediakan oleh Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM)